Assalamualaikum semua..
Harini aku nak share pengalaman aku di temuduga bagi jawatan Pembantu Tadbir N19 di Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu atau SPNT pada 28 Jun 2020.
Bila aku upload story di media sosial, ramai yang tak tahu SPNT ni apa, tak kiralah warga negeri Terengganu sendiri atau luar Terengganu.
Meh sini aku cerita serba sedikit ya.
---------------------------------------------------------------
APA ITU SPNT?
SPNT adalah singkatan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu dan merupakan perkhidmatan awam di bawah naungan kerajaan Negeri Terengganu.
Setiap negeri di Malaysia mempunyai suruhanjaya perkhidmatan masing-masing contohnya di Pahang, dikenali sebagai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Pahang (SPA Pahang). Manakala di Kelantan pula dikenali sebagai Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Kelantan (SPN Kelantan). Begitu juga di negeri-negeri lain, masing-masing ada suruhanjaya perkhidmatan masing-masing.
----------------------------------------------------------------
Macam mana nak pohon kemasukan ke SPNT?
Sekiranya korang berminat untuk berkhidmat di SPNT seterusnya menyumbang bakti dan jasa ke atas pentadbiran Negeri Terengganu. Korang boleh memohon mana-mana jawatan yang dirasakan layak dan sesuai dengan kelulusan akademik korang di laman web rasmi SPNT.
Biasanya, pihak SPNT sendiri akan mengeluarkan iklan jawatan kosong di media sosial seperti di Facebook Page rasmi SPNT untuk diwar-warkan kepada mereka yang berminat untuk memohon.
-----------------------------------------------------------------
APA BEZA TEMUDUGA SPNT & SPA8i?
1. CARA PERMOHONAN
PERSAMAAN
Permohonan kerja di kedua-dua SPA & SPNT adalah melalui atas talian (online application) dengan melayari laman web rasmi masing-masing.
PERBEZAAN
Tempoh masa permohonan SPA8i adalah terbuka sepanjang tahun, manakala permohonan SPNT mempunyai had masa yang ditetapkan.
Permohonan Kerja SPA8i
Permohonan kerja di SPA boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja, tidak perlu tunggu iklan jawatan kosong dikeluarkan baru boleh isi.
Contohnya aku isi jawatan Pegawai Sains pada bulan Januari. Kemudian SPA8i mengeluarkan iklan jawatan kosong pada bulan Mac. Jadinya, automatik permohonan aku pada bulan Januari tadi masuk ke dalam sistem permohonan jawatan Pegawai Sains yang diiklankan pada Mac. Tak perlu pun bulan Mac tu aku nak kena isi balik borang ke apa, tak perlu. Rest assured okay guys. Inshaa Allah sekiranya maklumat korang isi dengan tepat dan lengkap, dan korang melepasi syarat-syarat yang ditetapkan, inshaa Allah nanti sampai lah emel rasmi dari SPA8i jemput korang jawab exam. Yang penting jangan lupa kemaskini maklumat & permohonan korang dalam masa setahun kerana tempoh sahlaku permohonan adalah dalam setahun.
Aku cerita kat sini sebab ada lagi yang tak faham sistem permohonan di SPA8i.
Permohonan Kerja SPNT
Manakala di SPNT, permohonan hanya boleh dibuat apabila ada kekosongan jawatan atau ada iklan yang dipaparkan oleh pihak SPNT. Biasanya dorang bagi limit dalam masa beberapa hari untuk memohon. Lepastu, sistem permohonan akan ditutup. Jadinya kalau betul berminat nak kerja di SPNT kena sentiasa alert dengan setiap iklan pengumuman dari pihak SPNT.
2. PEPERIKSAAN ONLINE (PSEE)
PERSAMAAN
Peperiksaan yang dianjurkan oleh kedua-dua SPA & SPNT juga melalui atas talian (online exam) dan biasanya dalam bentuk soalan objektif. Exam SPNT di buat di laman web yang sama dengan SPA. Emel yang dihantar pun dari server SPA.
PERBEZAAN
Sepertimana aku pernah cerita tentang soalan exam PSEE sebelum ni (di post sebelum ni), beza bagi kedua peperiksaan SPA8i dan SPNT terletak di bahagian A: Pengetahuan Am dimana exam SPA8i lebih menyeluruh dan meliputi pentadbiran dan isu semasa dalam negara Malaysia. Manakala exam SPNT lebih menjurus kearah pentadbiran, ekonomi dan sejarah negeri Terengganu.
Kalau korang nak tahu lebih details tentang soalan yang ditanya dalam exam online tersebut boleh click pada post ini Pengalaman Peperiksaan Online Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE).
3. SESI TEMUDUGA
PERBEZAAN
Secara keseluruhannya, temuduga di SPA8i lebih strict dari segi etika pemakaian, susunan sijil dan soalan yang di tanya kepada calon.
Temuduga SPA8i
Untuk temuduga SPA8i, terdapat dua orang penemuduga iaitu, Pengerusi (wakil dari pihak SPA) dan Wakil Jabatan (dari Jabatan jawatan yang korang pohon). Contohnya aku dulu, jawatan penolong pegawai farmasi, wakil jabatan adalah dari Jabatan Kesihatan.
Soalan yang ditanya pula lebih kepada skop kerja jawatan yang dipohon, isu semasa yang berkaitan jawatan dan juga nama pihak atasan seperti Ketua Pengarah KKM, Menteri dan sebagainya. Dari segi pengetahuan am, lebih kepada isu semasa yang berlaku dalam dan luar negara.
Temuduga SPNT
Di SPNT, mengikut pengalaman aku, hanya ada seorang penemuduga dan suasananya lebih santai. Tapi perlu diingatkan, walaupun penemuduga menanyakan soalan dengan loghat Ganu yang santai, kita sebagai calon masih perlu mengekalkan formaliti dan menggunakan kata hormat serta penyusunan kata yang formal dan bersopan.
Kepada korang yang dipanggil temuduga SPNT. Meh aku dedahkan sikit hint kepada korang supaya korang lebih bersedia untuk temuduga nanti. Kat bawah ni aku akan sertakan soalan yang ditanya pada aku dan antara topik lain yang korang boleh study dan ambil tahu termasuklah
i. Pentadbiran di Negeri Terengganu
- Nama Menteri Besar Terengganu
- Slogan kata negeri Terengganu
- Nama Sultan & Sultanah Terengganu
- Nama Menteri dari negeri Terengganu
ii. Pentadbiran di peringkat daerah rumah korang
- Nyatakan nama daerah kawasan rumah korang beserta DUN. Contoh macam aku; Daerah Kuala Nerus, DUN Seberang Takir, N11.
- Nama wakil rakyat/Yang Berhormat di DUN tempat tinggal
- Nama Menteri dari Parlimen kawasan (kebetulan wakil Parlimen Kuala Nerus baru dilantik menjadi menteri pada ketika itu
iii. Latar belakang korang
- Jika dibandingkan dengan SPA8i yang lebih fokus kepada pencapaian dan kelulusan akademik atau sijil pendidikan calon. SPNT lebih fokus kepada calon yang aktif dengan aktiviti luar seperti kokurikulum dan sukan
- Soalan yang diajukan kepada aku adalah, apakah peringkat tertinggi penglibatan luar anda?
- Adakah anda seorang yang aktif bersukan? Main sukan apa dan apakah peringkat tertinggi?
- Jika korang ada jasa dan penglibatan khas yang mengharumkan nama negeri atau negara, lebih tinggi kredit akan diberikan.
iv. Pentadbiran dalam Negara Malaysia
- Siapakah nama Agong dan permaisurinya?
- Apakah nilai murni atau sikap baginda yang anda sukai?
- Siapakah nama Perdana Menteri dan nyatakan sikap beliau yang anda kagumi?
v. Isu semasa: COVID-19
- Disebabkan aku ditemuduga ketika pandemik COVID-19, aku ditanya soalan yang berkaitan.
- Namakan 3 figura yang sering muncul di kaca tv untuk sidang media.
- Antara mereka bertiga, yang mana anda paling suka, dan nyatakan sebab?
- Berapakah jumlah keseluruhan kes COVID di Malaysia sehingga harini?
- Pernahkah negara kita mencatat satu kes aktif?
Secara keseluruhannya, ini lah antara apa yang aku lalui sendiri dari awal iaitu peringkat permohonan, peperiksaan online dan peringkat terakhir iaitu temuduga. Perlu diingatkan, ini adalah pengalaman aku dan mungkin berbeza dengan pengalaman calon lain.
Dan mengikut pengalaman aku sendiri, takde langsung ditanya soalan berkaitan skop kerja dan latar belakang pendidikan aku. Bagi calon lain, aku tak pasti adakah soalan ini diajukan atau tidak. Lagipun untuk temuduga PT N19 ini berlangsung dalam tempoh masa yang lama dan dijalan kan serentak di tempat berbeza jadinya penemuduga pun berbeza.
----------------------------------------------------------
Akhir kata, kepada calon SPNT, aku nak ucapkan selamat maju jaya dalam peperiksaan dan temuduga yang akan dijalankan. Doa dan usaha perlu lah seiring. Kalau dah tertulis rezeki kita dengan SPNT, inshaa Allah tak kemana. Tapi sekiranya, takde rezeki di sini pun, kita cuba lagi di tempat lain atau cuba lagi di masa yang akan datang.
Aku harap perkongsian aku pada post kalini dapat membantu korang dan memberikan gambaran secara kasar tentang perjalanan dari awal permohonan kerja sehingga lah peringkat akhir temuduga di SPNT. Aku doakan semoga urusan kita semua dipermudahkan tuhan, inshaa Allah aamin.
Inshaa Allah kita jumpa lagi di post yang akan datang!
p.s: aku tengah siapkan draft pengalaman aku yang lain dalam temuduga SPA8i untuk kelayakan ijazah & diploma, so stay tune!
tq for sharing. semoga murah rezeki awk
BalasPadamAda email nj Tanya soalan
BalasPadam