Isnin, 13 Julai 2020

Temuduga Pegawai Gred C41 dan Susunan Sijil SPA8i

Hai!
Assalamualaikum semuaaa...

Harini, aku nak share dengan korang pengalaman aku menghadiri temuduga kerajaan atau perkhidmatan awam di bawah SPA8i untuk Jabatan Alam Sekitar yang telah berlangsung pada 8 Januari 2020.

Temuduga yang aku hadiri ni adalah untuk jawatan Pegawai Kawalan Alam Sekitar Gred C41, yang aku mohon menggunakan sijil Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kimia, di mana minor course degree aku dulu adalah Sains Alam Sekitar & Teknologi beserta OSHA.

Disebabkan sebelum ni, aku dah pernah hadir temuduga kerajaan, so aku macam rileks sikit laa sebab dah tahu suasana dan perjalanan temuduga tu. Lebih-lebih lagi kalini aku ditemuduga di tempat yang sama, di Pusat Temuduga SPA8i Kuala Terengganu.

So, aku akan share perjalanan aku dari awal sehingga ke akhirnya dengan harapan dapat membantu calon SPA8i yang lain mendapat gambaran kasar tentang apa yang berlaku pada hari tersebut.



-------------------------------------------------------------------------



PERSIAPAN SEBELUM TEMUDUGA


1. Study soalan yang akan ditanya oleh penemuduga

i)      Skop kerja jawatan yang kita pohon. Korang boleh google jawapan ni di laman web rasmi SPA8i

ii)    Isu semasa yang berkaitan jawatan. Contohnya untuk Pegawai Kawalan Alam Sekitar, aku baca berita terkini berkaitan kes pencemaran yang berlaku di Malaysia, seperti pencemaran sungai (punca & cara penyelesaian)

iii)    Fakta atau basic knowledge yang berkaitan dengan bidang pekerjaan. Untuk jawatan ni, aku ada study tentang Akta Kualiti Alam Sekitar atau lebih dikenali sebagai AKAS atau EQA. Kemudian, aku ada jugak baca tentang Environmental Impact Assessment (EIA), apa keperluan & kepentingannya.

Biasanya topik-topik yang aku study ni adalah based on apa yang aku jumpa di internet melalui blog penulisan pengalaman oleh calon temuduga yang lepas.


2. Persiapan sijil dan dokumen penting

i)    Sijil asal atau original disusun dalam fail. Manakala salinan sijil disusun bersama resume. Sijil perlu lah disusun dengan betul (susunan dari yang terkini sehingga terdahulu, e.g. 2020 - 2016)

ii)     Aku banyak terjumpa tips di blog atau facebook sebelum ni, untuk buat divider atau pun pembahagi sebab nak bagi nampak kemas. So, aku buatlah.


Ni contoh kalau korang google Divider Fail Temuduga


Last-last aku dimalukan depan calon lain, kena bebel teruk. Masih terngiang-ngiang suara pegawai di kaunter pendaftaran cakap, "Siapa ajar awak ni? Jangan nak memandai-mandai buat pembahagi semua ni." Hahahaha malu weh serius.

By the way, sebelum aku pergi temuduga, aku dah pernah terbaca kat post FB, ada calon temuduga di negeri lain pun ada share di ruangan komen, dia cakap dia pun sama pernah ditegur dan dibebel di depan orang ramai sebab buat divider. So, bukan aku sorang jelah yang kena. Hahahhahaha.

So korang, kalau taknak kena bebel, jangan buat k. Kalau nak buat juga, suka hati korang lah, buat jela, mana tahu kot tempat korang pergi tu tak kisah pasal divider. Yalah, tempat temuduga kita berbeza so mungkin, siapa tahu cara pegawai kat sana pun berbeza. Tapi ni adalah pengalaman aku.

Lepas tu memang aku tak buat dah & alhamdulillah untuk temuduga kerajaan seterusnya dibawah SPNT, aku dah tak buat divider. Dan aku la calon paling awal siap bila sampai check sijil. Siap kena puji, sebab susunan semua okay takde kena baiki ke apa.


iii)    Susunan sijil yang betul (mengikut pegawai di kaunter pendaftaran SPA8i)


Depan sekali, IC ori klipkan sekali dengan surat beranak ori


Page kedua, Sijil SPM & Ijazah


Next page, Transkrip Ijazah


Next, sijil berhenti sekolah & sijil MUET (kalau ada)


Lepastu, sijil kokurikulum korang


Page last sekali, letak salinan emel panggilan temuduga




PADA HARI TEMUDUGA


Pemakaian calon

Calon digalakkan memakai pakaian yang dapat membuatkan diri nampak professional, berkredibiliti dan layak menjadi seorang pegawai kerajaan. Kalau korang ada blazer atau kot, pakailah. Baru nampak smart. Kalau ada name tag, pakailah lagi senang penemuduga nak ingat dan kenal muka korang.

Untuk calon perempuan, korang digalakkan memakai baju kurung bercorak kosong, elakkan pakai baju bercorak agak heavy, yang bergaya macam peplum ke kembang bawah ke apa ke. Pakai baju kurung kosong je weh. Warna tudung dan baju perlu lah match dan dari tona warna yang lembut, jangan pakai warna garang-garang. Ni antara tips yang aku dapat dari calon lepas dan juga ahli keluarga yang sudah berjaya masuk ke perkhidmatan awam.

Bab pakaian ni senang cerita, pakai pakaian yang kemas & nampak skema tapi professional, yang mana kalau orang pandang, "Oh dia ni mesti kerja kerajaan". Lebih kurang macam tu lah analogi nya.


Sesi temuduga

Untuk pengetahuan korang, temuduga ini adalah secara berkumpulan iaitu group interview. 3 orang calon di panggil masuk dan ditemuduga serentak oleh 2 orang penemuduga, sorang mewakili pihak SPA iaitu Pengerusi dan sorang lagi adalah Wakil Jabatan, dalam kes aku ni, Pengarah Jabatan Alam Sekitar.

Meh la aku share apa soalan yang penemuduga tanya aku dan 2 orang lagi calon pada waktu tu

Soalan dari PENGERUSI (Wakil pihak SPA)

1. Perkenalkan diri masing-masing. (Soalan wajib temuduga)

2. Bayangkan jika anda dah berjaya temuduga ni, diterima menjadi Pegawai Kawalan Alam Sekitar & diminta lapor diri pada pengarah JAS. Sila lakonkan situasi tersebut.

3. Saya mahukan anda membuat satu permintaan terhadap pengarah JAS.

Soalan dari WAKIL JABATAN

Soalan berkaitan latar belakang calon (pendidikan & pengalaman kerja) dan relate dengan jawatan tu. Contohnya:

CALON 1: Seorang pengurus dalam bidang kejuruteraan di bahagian Oil & Gas. Kalau ikutkan kerja di situ lebih besar gajinya, lebih lumayan. Kenapa nak kerja kerajaan yang gajinya lebih kecil?

CALON 2: Mempunyai sejarah permohonan dalam bidang kesihatan & badan beruniform. Penemuduga boleh trace segala maklumat peribadi korang melalui tab masing-masing. Soalan yang diajukan adalah, apa minat awak sebenarnya? Kenapa pilih alam sekitar sedangkan sebelum ni mohon kerja sebagai nurse dan sebagainya. Apa sebenarnya yang awak betul-betul inginkan?

CALON 3 (aku): Awak pilih jawatan ni sebab apa? Sebab kos awak belajar? Sebab ijazah awak? Boleh yakinkan saya yang awak layak untuk jawatan ni? Adakah awak mempunya sijil kompetensi atau sijil kemahiran industri selain sijil ijazah?

Perbincangan dalam kumpulan

Wakil Jabatan display tajuk perbincangan pada tab beliau, 'Pencemaran alam sekitar yang berlaku kini disebabkan pembanguna lestari'

So ketiga-tiga calon mengeluarkan pendapat & idea masing-masing.

Soalan dari PENGERUSI (Wakil pihak SPA)

1. Berikan satu idea inovasi untuk mengubah sikap tidak bertanggungjawab masyarakat kita agar alam sekitar lebih terpelihara dan dapat dijaga pada masa akan datang.

2. Who is Father of Innovation

3. Apa yang awak faham tentang, 'someone who reads a page of book before its written' ?

4. Antara kamu, siapa yang mempunyai kemahiran bahasa ketiga? Espcially Mandarin speaker?



------------------------------------------------------



Secara keseluruhannya, apa yang aku dapat simpulkan adalah hampir 90% soalan yang ditanya melibatkan kemahiran berfikir dan ketajaman otak untuk mencetuskan idea yang kreatif dan kritis.

Jujur, aku memang lemah bab macam ni, di mana aku perlu berfikir di luar kotak. Secara nature nya, aku berada dalam kelompok teori dan realistik. Aku paling tak suka fikir sesuatu yang baru, yang belum wujud di dunia ni, aku lebih suka sesuatu yang rutin. Jadinya bab soalan yang inovasi apa semua memang aku fail. Kalau time study dulu pun, masuk kelas Entrepreneurship, aku memang nak lari, sebab lecturer suka suruh student fikir di luar kotak. Almost everyone dalam kelas senyap pastu sengih sebab tak boleh nak fikir kecuali budak lelaki. Dorang pemikiran lain dari kita orang perempuan ni.

So itulah lemahnya aku. Apa aku boleh cakap, aku tak dapat jawab kebanyakkan soalan yang ditanya sebab aku tak expect soalan macam ni. Aku pernah baca blog calon lain yang pernah ditemuduga, bentuk soalan dorang lain. Soalan dorang lebih kepada ilmu dan fakta dalam bidang alam sekitar contohnya green fuel, pollution, schduled waste. Aku boleh terima soalan fakta, maknanya ada jawapan betul dan salah. Tapi bila bagi soalan yang bentuknya subjektif, lebih kepada pendapat dan pandangan, ini yang aku risaukan tambah pula otak yang blank sebab nervous kena interview tu satu hal, campur pulak terkejut sebab dapat soalan kreatif & kritis gitu. Biru muka aku, lidah kelu tanpa kata hahahhahahaha.


----------------------------------------------------


Akhir kata, aku ucapkan goodluck dan selamat maju jaya buat korang yang bakal menghadiri temuduga kerajaan. Apa aku boleh pesan adalah, expect the unexpected. Macam aku sendiri, bukan setakat isu semasa dan fakta sahaja yang korang fokuskan untuk persiapan temuduga, pada masa sama latih otak untuk berfikiran di luar kotak dan menjadi lebih kreatif dan realistik.

Itu sahaja untuk post kalini, inshaa Allah next post aku akan share pengalaman aku di temuduga untuk latihan separa perubatan pada tahun 2017. Tiga tahun pending post tu sebab sebelum ni busy study tak sempat update blog. So harapnya semua post aku bermanfaat untuk korang semua, inshaa Allah.

Jumpa lagi!

Jumaat, 10 Julai 2020

Temuduga di Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu (SPNT) 2020

Hai!
Assalamualaikum semua..

Harini aku nak share pengalaman aku di temuduga bagi jawatan Pembantu Tadbir N19 di Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu atau SPNT pada 28 Jun 2020.

Bila aku upload story di media sosial, ramai yang tak tahu SPNT ni apa, tak kiralah warga negeri Terengganu sendiri atau luar Terengganu.

Meh sini aku cerita serba sedikit ya.


---------------------------------------------------------------


APA ITU SPNT?

SPNT adalah singkatan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu dan merupakan perkhidmatan awam di bawah naungan kerajaan Negeri Terengganu. 

Setiap negeri di Malaysia mempunyai  suruhanjaya perkhidmatan masing-masing contohnya di Pahang, dikenali sebagai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Pahang (SPA Pahang). Manakala di Kelantan pula dikenali sebagai Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Kelantan (SPN Kelantan). Begitu juga di negeri-negeri lain, masing-masing ada suruhanjaya perkhidmatan masing-masing.


----------------------------------------------------------------


Macam mana nak pohon kemasukan ke SPNT?

Sekiranya korang berminat untuk berkhidmat di SPNT seterusnya menyumbang bakti dan jasa ke atas pentadbiran Negeri Terengganu. Korang boleh memohon mana-mana jawatan yang dirasakan layak dan sesuai dengan kelulusan akademik korang di laman web rasmi SPNT.

Biasanya, pihak SPNT sendiri akan mengeluarkan iklan jawatan kosong di media sosial seperti di Facebook Page rasmi SPNT untuk diwar-warkan kepada mereka yang berminat untuk memohon.


-----------------------------------------------------------------


APA BEZA TEMUDUGA SPNT & SPA8i?


1. CARA PERMOHONAN

PERSAMAAN
Permohonan kerja di kedua-dua SPA & SPNT adalah melalui atas talian (online application) dengan melayari laman web rasmi masing-masing.

PERBEZAAN
Tempoh masa permohonan SPA8i adalah terbuka sepanjang tahun, manakala permohonan SPNT mempunyai had masa yang ditetapkan.

Permohonan Kerja SPA8i
Permohonan kerja di SPA boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja, tidak perlu tunggu iklan jawatan kosong dikeluarkan baru boleh isi.

Contohnya aku isi jawatan Pegawai Sains pada bulan Januari. Kemudian SPA8i mengeluarkan iklan jawatan kosong pada bulan Mac. Jadinya, automatik permohonan aku pada bulan Januari tadi masuk ke dalam sistem permohonan jawatan Pegawai Sains yang diiklankan pada Mac. Tak perlu pun bulan Mac tu aku nak kena isi balik borang ke apa, tak perlu. Rest assured okay guys. Inshaa Allah sekiranya maklumat korang isi dengan tepat dan lengkap, dan korang melepasi syarat-syarat yang ditetapkan, inshaa Allah nanti sampai lah emel rasmi dari SPA8i jemput korang jawab exam. Yang penting jangan lupa kemaskini maklumat & permohonan korang dalam masa setahun kerana tempoh sahlaku permohonan adalah dalam setahun.

Aku cerita kat sini sebab ada lagi yang tak faham sistem permohonan di SPA8i.

Permohonan Kerja SPNT
Manakala di SPNT, permohonan hanya boleh dibuat apabila ada kekosongan jawatan atau ada iklan yang dipaparkan oleh pihak SPNT. Biasanya dorang bagi limit dalam masa beberapa hari untuk memohon. Lepastu, sistem permohonan akan ditutup. Jadinya kalau betul berminat nak kerja di SPNT kena sentiasa alert dengan setiap iklan pengumuman dari pihak SPNT.


2. PEPERIKSAAN ONLINE (PSEE)

PERSAMAAN
Peperiksaan yang dianjurkan oleh kedua-dua SPA & SPNT juga melalui atas talian (online exam) dan biasanya dalam bentuk soalan objektif. Exam SPNT di buat di laman web yang sama dengan SPA. Emel yang dihantar pun dari server SPA.

PERBEZAAN
Sepertimana aku pernah cerita tentang soalan exam PSEE sebelum ni (di post sebelum ni), beza bagi kedua peperiksaan SPA8i dan SPNT terletak di bahagian A: Pengetahuan Am dimana exam SPA8i lebih menyeluruh dan meliputi pentadbiran dan isu semasa dalam negara Malaysia. Manakala exam SPNT lebih menjurus kearah pentadbiran, ekonomi dan sejarah negeri Terengganu.

Kalau korang nak tahu lebih details tentang soalan yang ditanya dalam exam online tersebut boleh click pada post ini Pengalaman Peperiksaan Online Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE)


3. SESI TEMUDUGA

PERBEZAAN
Secara keseluruhannya, temuduga di SPA8i lebih strict dari segi etika pemakaian, susunan sijil dan soalan yang di tanya kepada calon.

Temuduga SPA8i
Untuk temuduga SPA8i, terdapat dua orang penemuduga iaitu, Pengerusi (wakil dari pihak SPA) dan Wakil Jabatan (dari Jabatan jawatan yang korang pohon). Contohnya aku dulu, jawatan penolong pegawai farmasi, wakil jabatan adalah dari Jabatan Kesihatan.

Soalan yang ditanya pula lebih kepada skop kerja jawatan yang dipohon, isu semasa yang berkaitan jawatan dan juga nama pihak atasan seperti Ketua Pengarah KKM, Menteri dan sebagainya. Dari segi pengetahuan am, lebih kepada isu semasa yang berlaku dalam dan luar negara.

Temuduga SPNT
Di SPNT, mengikut pengalaman aku, hanya ada seorang penemuduga dan suasananya lebih santai. Tapi perlu diingatkan, walaupun penemuduga menanyakan soalan dengan loghat Ganu yang santai, kita sebagai calon masih perlu mengekalkan formaliti dan menggunakan kata hormat serta penyusunan kata yang formal dan bersopan.

Kepada korang yang dipanggil temuduga SPNT. Meh aku dedahkan sikit hint kepada korang supaya korang lebih bersedia untuk temuduga nanti. Kat bawah ni aku akan sertakan soalan yang ditanya pada aku dan antara topik lain yang korang boleh study dan ambil tahu termasuklah

i. Pentadbiran di Negeri Terengganu
  • Nama Menteri Besar Terengganu
  • Slogan kata negeri Terengganu
  • Nama Sultan & Sultanah Terengganu
  • Nama Menteri dari negeri Terengganu

ii. Pentadbiran di peringkat daerah rumah korang
  • Nyatakan nama daerah kawasan rumah korang beserta DUN. Contoh macam aku; Daerah Kuala Nerus, DUN Seberang Takir, N11.
  • Nama wakil rakyat/Yang Berhormat di DUN tempat tinggal
  • Nama Menteri dari Parlimen kawasan (kebetulan wakil Parlimen Kuala Nerus baru dilantik menjadi menteri pada ketika itu

iii. Latar belakang korang
  • Jika dibandingkan dengan SPA8i yang lebih fokus kepada pencapaian dan kelulusan akademik atau sijil pendidikan calon. SPNT lebih fokus kepada calon yang aktif dengan aktiviti luar seperti kokurikulum dan sukan
  • Soalan yang diajukan kepada aku adalah, apakah peringkat tertinggi penglibatan luar anda?
  • Adakah anda seorang yang aktif bersukan? Main sukan apa dan apakah peringkat tertinggi?
  • Jika korang ada jasa dan penglibatan khas yang mengharumkan nama negeri atau negara, lebih tinggi kredit akan diberikan.

iv. Pentadbiran dalam Negara Malaysia
  • Siapakah nama Agong dan permaisurinya?
  • Apakah nilai murni atau sikap baginda yang anda sukai?
  • Siapakah nama Perdana Menteri dan nyatakan sikap beliau yang anda kagumi?

v. Isu semasa: COVID-19
  • Disebabkan aku ditemuduga ketika pandemik COVID-19, aku ditanya soalan yang berkaitan.
  • Namakan  3 figura yang sering muncul di kaca tv untuk sidang media.
  • Antara mereka bertiga, yang mana anda paling suka, dan nyatakan sebab?
  • Berapakah jumlah keseluruhan kes COVID di Malaysia sehingga harini?
  • Pernahkah negara kita mencatat satu kes aktif?

Secara keseluruhannya, ini lah antara apa yang aku lalui sendiri dari awal iaitu peringkat permohonan, peperiksaan online dan peringkat terakhir iaitu temuduga. Perlu diingatkan, ini adalah pengalaman aku dan mungkin berbeza dengan pengalaman calon lain.

Dan mengikut pengalaman aku sendiri, takde langsung ditanya soalan berkaitan skop kerja dan latar belakang pendidikan aku. Bagi calon lain, aku tak pasti adakah soalan ini diajukan atau tidak. Lagipun untuk temuduga PT N19 ini berlangsung dalam tempoh masa yang lama dan dijalan kan serentak di tempat berbeza jadinya penemuduga pun berbeza.


----------------------------------------------------------


Akhir kata, kepada calon SPNT, aku nak ucapkan selamat maju jaya dalam peperiksaan dan temuduga yang akan dijalankan. Doa dan usaha perlu lah seiring. Kalau dah tertulis rezeki kita dengan SPNT, inshaa Allah tak kemana. Tapi sekiranya, takde rezeki di sini pun, kita cuba lagi di tempat lain atau cuba lagi di masa yang akan datang.

Aku harap perkongsian aku pada post kalini dapat membantu korang dan memberikan gambaran secara kasar tentang perjalanan dari awal permohonan kerja sehingga lah peringkat akhir temuduga di SPNT. Aku doakan semoga urusan kita semua dipermudahkan tuhan, inshaa Allah aamin.

Inshaa Allah kita jumpa lagi di post yang akan datang!

p.s: aku tengah siapkan draft pengalaman aku yang lain dalam temuduga SPA8i untuk kelayakan ijazah & diploma, so stay tune!